Kenapa Mesti Baca Blog Ini?
Terlalu banyak buku panduan umrah yang berada di pasaran sekarang ini. Itu tidak termasuk blog-blog persendirian dan professional yang menyediakan maklumat tentang umrah. Buku pula sama ada yang percuma yang diberikan oleh pihak pengurusan perjalanan umrah, atau pun yang boleh dibeli di kedai-kedai buku. Jadi, kenapa mesti baca blog ini? Kenapa tidak cukup kita baca buku panduan umrah yang lain-lain itu?
Haa, istimewanya blog ini daripada naskah-naskah panduan mengerjakan umrah yang lain ialah ianya adalah sebuah panduan yang ditulis secara menyeluruh meliputi semua topik terkait perjalanan umrah, dari sebelum pergi ke tanah suci hinggalah pulang ke tanah air.
Penulis menulis blog ini berdasarkan pengalaman beliau mengerjakan umrah sebanyak 9 kali sebagai jemaah biasa, bukan sebagai mutawif atau pengurus perjalanan. Jadi perspektif beliau mewakili anda sebagai jemaah biasa. Beliau juga berpengalaman membawa bayi sekecil 3 bulan dan anak-anak kecil yang masih bersekolah tadika. Nota perjalanan ini sebagai bonus untuk para ibu yang ingin membawa bayi mereka atau pun anak-anak yang masih kecil. Penulis menggunakan bahasa yang santai seperti bercerita, kerana beliau menyampaikan pengalamannya. Ini memudahkan anda memahami lagi apa yang ingin disampaikan, in shaa Allah.
Penulis mengupas tentang perancangan, persiapan, perjalanan dan memberikan gambaran yang agak terperinci tentang keadaan di tanah suci. Perkara-perkara penting ini banyak disoal samada secara lisan atau pun dalam hati bakal jemaah. Kadang-kadang terjawab, kadang-kadang terbiar sepi hinggalah jemaah menghadapi sendiri perkara tersebut di tanah suci. Jadi blog ini membantu merungkai permasalahan yang timbul.
Blog ini juga memuatkan tentang tips memaksimakan masa sewaktu berada di sana. Ia turut menyelitkan beberapa frasa perkataan bahasa Arab yang boleh digunakan untuk berkomunikasi dengan orang Arab dan peniaga-peniaga di sana. Satu segmen khas untuk wanita juga ditulis merangkumi masalah wanita ketika mengerjakan umrah. Walau bagaimanapun, blog ini tidak menyentuh tentang bab haji.
Siapa Patut Baca?
Blog ini sesuai untuk mereka yang bakal menjadi tetamu Allah secara bersendirian, dengan keluarga, mahupun untuk para pencinta ilmu dan mereka yang berniat untuk mengerjakan umrah suatu hari nanti. Blog ini juga boleh dijadikan panduan oleh para pengelola perjalanan umrah bagi memahami kehendak jemaah dan kesulitan mereka dalam mengikuti rombongan ke tanah suci.
Bonus Untuk Para Ibu
Ibu nak pergi umrah, siapa nak jaga anak ibu di tanah air? Hmm..kenapa tidak bawa sahaja bersama? In sha Allah penulis akan kongsikan cerita-cerita, tips dan panduan untuk membawa anak ibu bersama ke tanah suci.