![]() |
| kredit: kaabahwallpaper |
Siapa yang tak pernah dengar perkataan ‘umrah’ ini? Rasanya
semua pernah dengar. Hatta budak-budak kecil pun biasa dengar orang pergi
‘umwah’. Tetapi tidak semua memahami semua yang berkaitan dengan perkataan yang
satu ini.
20 – 30 tahun dahulu, senario di Malaysia hanya menyaksikan
orang-orang tua yang berangkat menuju ke tanah suci. Kebanyakan mereka sudah
pencen atau menunggu waktu untuk pencen. Mungkin kerana keadaan ekonomi
masyarakat kita waktu itu yang tidak membenarkan jemaah Malaysia beramai-ramai
menjadi tetamu Allah. Atau mungkin juga dek kurangnya pemahaman tentang
kepentingan mengerjakan umrah.
Sekarang ini, bukan sahaja ramainya jemaah Malaysia saban
bulan memenuhi lapangan terbang bersiap untuk terbang mengerjakan umrah, malah
syarikat-syarikat pengendali umrah juga tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas
hujan. Hasilnya, umrah menjadi ‘trend’. Ramai orang yang turut serta tanpa
memahami sebenarnya tujuan mereka mengerjakan umrah.
Kes ‘Tipah tertipu’ pun banyak. Dalam keghairahan umat Islam
di Malaysia berlumba-lumba ingin mengerjakan umrah, manusia-manusia tamak yang
ingin mengaut keuntungan segera turut berlumba-lumba menipu para jemaah.
Sudahlah harapan diberikan, duit diambil, bayang mereka pula lesap. Allahu
Akbar! Kasihan bakal jemaah umrah tak jadi. Berbulan-bulan mengejar bayangan
pengelola umrah yang sudah hilang entah ke mana.
Jom kita renungkan. Ramai umat Islam yang berharta, tetapi
ramai juga yang tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke tanah suci. Ada yang
terlalu sibuk bekerja, dan ada juga yang tidak langsung terbuka hati mereka
untuk ‘menjenguk’ ke rumah Allah.
Sebaliknya, ramai juga umat Islam yang
mempunyai duit cukup-cukup untuk belanja bulan tersebut. Simpanan di bank juga
tak pernah melepasi tiga angka. Namun, hatinya merindui untuk sujud di hadapan
Ka’abah. Dalam ramai-ramai umat Nabi sallallahu ‘alaihi wa salam ini, ada yang
akhirnya sampai ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Ada juga yang sehingga
akhir hayatnya tidak berpeluang menjenguk tanah suci buat umat Islam. Ada juga
kisah bakal jemaah yang sudah siap segala kelengkapan, kenduri doa selamat juga
sudah dibuat. Tetapi tidak jadi berangkat kerana masalah yang timbul dim init
terakhir. Tidak kira si kaya atau si miskin; lelaki atau perempuan. Tidak kira
orang muda atau warga emas. Kenapa jadi begitu?
UMRAH: SUATU JEMPUTAN
Pertama sekali yang harus kita faham tentang mengerjakan
umrah ini ianya bukanlah datang dari kehendak hati kita semata-mata. Ianya
bukan ekslusif untuk orang kaya berharta semata-mata. Ianya juga tidak terbatas
untuk mereka yang berjubah, berjanggut dan bertudung labuh sahaja. Bukan juga
hanya untuk para ustaz dan ustazah atau pak menteri dan orang kenamaan. Tidak!
Semuanya datang dari Allahu Subhanahu wa Ta'ala. Allah yang
membuka hati kita untuk berniat mengerjakan umrah. Allah yang memberikan
kelapangan masa untuk kita sampai di tanah suci. Allah yang memberikan
kesihatan pada kita sewaktu di sana mahupun di tanah air. Allah yang membuka
pintu rezeki, memudahkan kita mendaftar dan membayar harga pakej umrah yang
dipilih.
Allah juga yang menjaga keselamatan kita bermula dari kita keluar
rumah berdebar-debar hendak menuju ke lapangan terbang, sehinggalah kita balik
semula ke rumah sarat dengan pelbagai kenangan manis dan juga buah tangan. Maa
sha Allah!
Kesimpulannya, umrah ini cerita istimewa. Umrah ini cerita
bahagia. Ianya adalah jemputan khas dari Sang Pencipta kepada yang dicipta.
Ianya adalah hadiah kasih sayang dari Tuhan Yang Maha Besar buat hambanya yang
kerdil. Bila telah ditetapkan begitu, tiada apa yang dapat menghalangnya.
Firman Allah dalam surah Aali Imran ayat 160 yang bermaksud:
"Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang
dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan)
maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah
itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin
bertawakkal".
Jika kita fahami betul-betul konsep ini, in shaa Allah kita
akan mudah redha jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kerana semuanya
datang dari Allah. Jemputan umrah itu, pemergian kita ke sana, dan kepulangan
kita ke tanah air.
Jadi, jom kita berdoa bersungguh-sungguh dengan sepenuh hati
agar diberikan jemputan itu oleh Yang Maha Esa. Pohon dariNya setiap kali dahi
kita sujud menyembah Allahu Subhanahu wa Ta'ala. Minta agar kita tersenarai
menjadi tetamuNya yang berbahagia menjadi jemputan Yang Maha Agung di tanah
suci. Allahu Akbar! Berdoalah!
Allah berfirman dalam surah Ghafir ayat yang ke
60 yang bermaksud:
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya
Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong
takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam
keadaan hina”.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan