Selasa, 4 Oktober 2016

Soalan: APA?

Berikut adalah antara soalan-soalan yang perlu kita jawab dalam bahagian soalan 'Apa?'. Bunyinya macam complicated sangat,kan? Ini adalah panduan bagi mereka yang tidak pernah langsung menjejak kaki ke tanah suci. Bagi yang dah biasa, ia juga bagus untuk kita segarkan semula niat dan tujuan kita sambil semak-semak apa yang biasa kita buat secara teratur. 


Apa yang kita hendak buat?

  • Kita hendak menunaikan umrah kerana Allah subhanahu wa ta'ala.
  • Kita hendak mendekatkan diri kepada pencipta tubuh ini.
  • Kita hendak belajar membersihkan hati dan dosa yang selama ini kita buat sama ada secara sengaja atau pun tidak. 
  • Kita hendak menziarahi maqam Rasul kita yang tercinta. Semoga kita beroleh syafa'at baginda di hari kebangkitan nanti. 

Apa yang perlu dibuat?

  • Cari maklumat tentang pakej, waktu umrah, dan harga.
  • Cari maklumat tentang Visa, hotel dan penerbangan (jika pergi secara backpack atau sendiri).
  • Cari maklumat tentang kadar tukaran matawang.

Pakej yang ditawarkan oleh syarikat pengelola perjalanan umrah biasanya berkait rapat dengan waktu umrah dan harga. Apabila kita melayari laman sesawang syarikat-syarikat pengelola ini atau lihat pada brosur-brosur mereka, kita boleh naik pening untuk memilih. Terlalu banyak dan seakan-akan sama sahaja. Tapi disebabkan mereka berlainan syarikat, tentulah ada bezanya. Jadi pemilihan pakej ini penting bagi memastikan segala yang berkait dengannya memuaskan hati kita kelak.

Ada empat jenis pakej umrah yang biasa ditawarkan iaitu umrah biasa, umrah ziarah, umrah musim sejuk dan umrah VIP. Pakej umrah biasa dan umrah musim sejuk selalunya menawarkan program selama 12 – 14 hari termasuk hari perjalanan pergi dan balik. Bezanya umrah musim sejuk jemaah akan pergi pada musim sejuk. Di Arab Saudi, musim sejuk bermula dari hujung November hingga awal Mac. 

Bagi pakej umrah ziarah yang menawarkan lawatan tambahan ke tempat-tempat lain seperti Turki, Mesir, Jordan atau lain-lain tempat, tempohnya bergantung kepada syarikat pengelola. Pakej umrah VIP masanya tidak tetap kerana bergantung kepada permintaan jemaah. Biasanya mereka yang menggunakan khidmat ini ialah ahli korporat, menteri-menteri dan juga sesiapa sahaja yang mampu. Selain daripada masanya boleh ditetapkan mengikut kehendak jemaah yang sibuk dengan rutin mereka, tempat tinggal (hotel) dan pengangkutan mereka juga boleh dipilih mengikut citarasa. Namun, pakej ini selalunya sekejap dan padat kerana kekangan masa para jemaah VIP.

Apa yang perlu disiapkan?

  • Jika pergi dengan pakej, ada 2 perkara yang perlu disediakan pada peringkat awal.
  1. Wang deposit - jumlahnya bergantung kepada syarikat pengelola perjalanan umrah. Pastikan kita menerima resit yang sah untuk setiap pembayaran.
  2. Dokumen yang diperlukan - pasport, sijil nikah bagi tujuan muhrim (telah disahkan di Pejabat Agama dan Kementerian Luar), sijil beranak anak-anak (telah disahkan di Pejabat Pendaftaran), buku suntikan ACWY dan gambar untuk Visa. Ada juga syarikat pengendali umrah yang menguruskan untuk mendapatkan cop pengesahan dari Kementerian Luar, jadi perlu tanya pada pegawai yang menguruskan urusan umrah kita tu.
Contoh cop pengesahan dari Jabatan Agama

Contoh cop pengesahan dari Kementerian Luar
Suntikan tu ada tarikh luput, ya..


Apa yang perlu dibawa?

  • Ada 3 perkara utama yang perlu dibawa untuk umrah:
    1. Peralatan umrah
    2. Kelengkapan harian
    3. Ubat-ubatan

Apa lagi yang perlu diambil kira?

  • Musim - Kota Makkah dan Madinah terletak di negara Arab Saudi yang mempunyai musim sejuk dan musim panas. Namun, bila berkait dengan dua tanah haram ini, musim Haji dan Bulan Ramadhan juga mempengaruhi harga pakej umrah dan persediaan kita.  
  • Jarak hotel - hotel yang paling hampir biasanya 50meter dari sempadan masjid. Ia boleh pergi sehingga sejauh berkilo-kilo meter. Hotel yang jauh adalah murah tetapi memerlukan kita berjalan kaki (jika tiada shuttle) pergi dan balik ke masjid. Hotel yang hampir tentu sahaja menelan belanja yang agak besar. Namun agak berbaloi jika dibandingkan dengan kesihatan kita yang perlu dijaga sepanjang kita berada di tanah suci. 
  • Penerbangan - terdapat dua jenis penerbangan iaitu penerbangan terus dari Malaysia ke Jeddah atau Madinah; atau penerbangan transit. Ada syarikat pengelola umrah yang ingin mendapatkan tambang murah. Begitu juga jika kita memilih untuk pergi secara backpack. Jadi pilihan penerbangan jenis kedua ini menguntungkan. Maka hati-hati bila memilih pakej. Tanyakan jenis penerbangan bagi pakej itu. Berapa jam transit? Berapa kali? Di mana? Perlu tukar kapal terbang? Perlu bawa turun bagasi? Naik di terminal mana? Dan soalan-soalan berkaitan. 
  • Pengangkutan dari rumah ke lapangan terbang - jika kita memilih untuk memandu sendiri ke lapangan terbang, pilih tapak parkir yang selamat dan sesuai dengan bajet kita. Jika tidak, kenalah minta tolong sesiapa sahaja untuk menghantar kita ke lapangan terbang. Pilihan untuk menaiki kenderaan awam seperti bas atau teksi juga boleh difikirkan. Ada juga yang menaiki penerbangan lain dari tempat yang lebih jauh seperti dari Kelantan, Utara Tanah Air atau dari Sabah dan Sarawak.
  • Kemudahan lain yang diperlukan - seperti kerusi roda, diskaun kanak-kanak, keperluan makanan khas di dalam kapal terbang untuk pesakit (jika terbabit), kemudahan bayi (seperti katil bayi di dalam kapal terbang) dan sebagainya. 

Apa lagi yang perlu tahu?

Bandingkan beberapa pilihan dari beberapa pengelola perjalanan umrah. Padankan mengikut bajet dan kesesuaian kesihatan kita. 

Kadangkala ada keperluan kita yang nampak kecil tetapi penting. Ringankan mulut bertanya kepada pengelola perjalanan umrah anda.


TIPS: Umrah adalah ibadah terhadap Allah. Luruskan niat kita untuk pergi menunaikan umrah hanya kerana Allah. Jangan kerana ikut trend atau kerana terpaksa. Jauhi juga dari niat untuk menunjuk-nunjuk. Lakukan umrah ikhlas semata-mata kerana Allah.


Isnin, 3 Oktober 2016

BAB DUA: JOM, BUAT PERANCANGAN!

kredit: clipartkid


Kata pakar motivasi, jika kita gagal untuk merancang, sebenarnya kita merancang untuk gagal. Haa, takkanlah kita nak gagal dalam mengerjakan umrah, ye tak? Tunggu apa lagi? Jom kita rancang!

Kita perlu faham, merancang untuk mengerjakan umrah bukan hanya seperti merancang untuk ke tempat percutian yang lain. Memang benar kita seolah-olah bercuti, iaitu bercuti dari memikirkan tentang kerja dan rutin seharian. Namun percutian kali ini bukan sekadar percutian yang menjamu mata dan selera. Malah lebih dari itu. Kita akan ke dua buah kota yang mempunyai ‘rumah Allah’ dan juga menziarahi maqam Junjungan Besar Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa salam. Paling utama, kita akan menjamu rohani kita yang mungkin selama ini kelaparan menanti untuk disuapkan dengan pelbagai hidangan kerohanian.

Perancangan ini sangat perlu kerana banyak perkara yang akan dikorbankan. Jadi biarlah segala yang dikorbankan itu berbaloi, dan paling penting ianya diterima oleh Allah subhanahu wa ta'ala.


Di dalam blog ini, kita akan bincangkan perancangan dari lima aspek iaitu perihal yang berkaitan dengan apa, bila, di mana, siapa dan bagaimana? Setiap persoalan ini merangkumi banyak skop. Ianya tidak mengikut turutan kejadian yang biasanya berlaku kerana kronologi setiap perjalanan umrah itu berbeza mengikut individu dan keadaan. 

Tetapi saya telah mengumpulkannya mengikut 5 jenis soalan dan cuba memastikan agar tiada perincian yang tertinggal. Perinciannya akan dikemukakan selepas ini. Anda boleh klik pada link pada setiap soalan tersebut. 


5 Jenis Soalan dan Sub Soalan

1. Apa?

  • Apa yang kita hendak buat?
  • Apa yang perlu dibuat?
  • Apa yang perlu disiapkan?
  • Apa yang perlu dibawa?
  • Apa yang perlu diambil kira?
  • Apa lagi yang perlu tahu?


2. Bila?
  • Bila nak pergi?
  • Bila nak serahkan dokumen?
  • Bila kursus umrah?
  • Bila hendak jelaskan bayaran penuh?
  • Bila keluar VISA?


3. Di mana?
  • Di mana nak mendaftar?
  • Di mana nak beli tiket kapal terbang?
  • Di mana nak tempah bilik hotel?
  • Di mana nak beli kelengkapan umrah?

4. Siapa?
  • Siapa yang perlu ikut serta?
  • Siapa yang perlu tahu?
  • Siapa yang bertanggung jawab keluarkan Visa?
  • Siapa yang boleh uruskan Visa?
  • Siapa ketua perjalanan?
  • Siapa mutawif bertanggung jawab di tanah suci?

5. Bagaimana?
  • Bagaimana hendak mengerjakan umrah?
  • Bagaimana hendak mengerjakan umrah badal?
  • Bagaimana hendak menguruskan jadual di tanah suci?
  • Bagaimana hendak menguruskan diri di tanah suci?
  • Bagaimana hendak uruskan anak kecil di tanah suci?
  • Bagaimana hendak dapatkan keperluan di tanah suci?
In sha Allah, setiap soalan di atas kita akan bincangkan satu-satu. Jika anda ada soalan lanjut, boleh tanya di ruang Comments. Klik pada link setiap soalan untuk pergi pada huraiannya. [In progress]


Apa Yang Diharapkan? [What to expect]


Mengerjakan ibadah umrah di tanah suci ialah suatu pengalaman yang sangat unik dan tidak boleh disamakan dengan mana-mana pengalaman melancong ke tempat lain. Walaupun seseorang itu telah berkali-kali mengunjungi dua tanah haram ini, percayalah yang setiap kali kunjungannya pasti pengalaman yang baru dan unik akan dirasainya. 

Ada jemaah yang pergi sambil membandingkan pengalaman melancong ke tempat lain. Keadaan bilik di hotel, pengurusan di lapangan terbang, makanannya, dan mungkin juga orang-orang di sekitar. Tentu saja tidak sama. Bukan sahaja tempatnya berbeza. Tetapi yang pentingnya niat kita mengunjungi tanah haram itu. 

Ada orang yang pergi untuk beribadah semata-mata. Hinggakan tidak kisah hotelnya di mana atau makanan jenis apa dihidangkan.
Ada orang yang pergi untuk membeli-belah, sambil-sambil beribadah. Dari rumah dah ada senarai panjang apa yang perlu dibeli... buah tangan untuk jiranlah, jubah untuk anaklah, tasbih untuk gurulah. 
Ada orang yang pergi kerana nak naik kapal terbang. Hehe.. 
Ada orang yang pergi kerana terpaksa menemankan orang tua atau pasangan, sedangkan hati masih di pejabat memikirkan kerja yang bertimbun. 

Apa pun tujuan kita, lihatlah nanti di tanah suci kita akan dapat sesuai dengan niat yang terlalu ditumpukan itu. 

Namun, apapun yang berlaku, oleh kerana limpahan rahmat Allah itu terlalu banyak di situ, sewaktu perjalanan pulang setiap hati yang disentuh oleh hidayah Allah pasti akan merangka-rangka rancangan perjalanan baru ke tanah suci yang akan ditempuhinya lagi. Kali ini mungkin bersama ahli keluarga yang lain, rakan-rakan atau mungkin juga terbayang-bayang perjalanan ibadah hajinya sendiri. 


TIPS: Untuk pengalaman yang terbaik di tanah haram, banyakkan solat taubat sebelum pergi. Bersihkan hati dan tumpukan niat untuk beribadah ikhlas semata-mata kerana Allah. Kemudian yakinlah: kita pergi ke rumah Allah atas jemputanNya. Pastilah Allah sebagai tuan rumah akan menyediakan yang terbaik untuk tetamuNya. In sha Allah, segalanya akan berjalan lancar. Jika ada pun masalah berlaku, in sha Allah hati kita akan tenang dan redha menerima segala ketentuannya.

Apa Itu Umrah?


Dalam rukun Islam yang kelima, umat Islam yang berkemampuan diwajibkan untuk menunaikan ibadah haji. Sebelum mengerjakan haji, ibadah umrah biasanya dilakukan dahulu (walaupun tidak semestinya). Perkataan ‘umrah’ dari sudut bahasa bermaksud “ziarah”. Dari segi teknikalnya pula“umrah” bermaksud "menziarahi baitullahil haram untuk melakukan ibadah tawaf, saie, dan tahallul".


Disebabkan umrah ini adalah perlakuan ibadah, kita tak boleh buat suka-suka hati sahaja. Mesti mengikut tatacaranya yang telah ditetapkan. Secara ringkas ianya harus dimulakan dengan seseorang itu berniat untuk mengerjakan umrah. Tapi awas, jangan suka-suka nak berniat dari tanah air kita. Sebab bila seseorang itu berniat, maka bermulalah pantang larang ihram ke atasnya. 

Kalau setakat belajar niat itu dengan menyebutnya kuat-kuat, itu tidak menjadi masalah. Nanti ada pula yang takut nak belajar menyebut lafaz niat itu sebab takut kena jaga pantang larang ihram. Sesuai dengan namanya, niat itu hanyalah di dalam hati, bukan dengan lafaz yang kuat. 

Motivasi Umrah

Dalam sebuah hadith, daripada Abu Hurairah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa salam diriwayatkan bersabda: 
“Ibadah umrah ke ibadah umrah berikutnya adalah penggugur (dosa) di antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga” (HR al-Bukhari dan Muslim).


Ulama' membahaskan maksud di antara keduanya yang menjadi dorongan supaya kita melakukan umrah itu lebih dari sekali. Umrah pada hukumnya berbeza mengikut mazhab. Dan bagi penduduk Malaysia yang rata-rata bermazhab Shafi'e, umrah adalah fardhu yang wajib sekali seumur hidup jika mampu mengerjakannya. 



Ahad, 2 Oktober 2016

BAB SATU: ADA APA DENGAN UMRAH?

kredit: kaabahwallpaper

Siapa yang tak pernah dengar perkataan ‘umrah’ ini? Rasanya semua pernah dengar. Hatta budak-budak kecil pun biasa dengar orang pergi ‘umwah’. Tetapi tidak semua memahami semua yang berkaitan dengan perkataan yang satu ini.

20 – 30 tahun dahulu, senario di Malaysia hanya menyaksikan orang-orang tua yang berangkat menuju ke tanah suci. Kebanyakan mereka sudah pencen atau menunggu waktu untuk pencen. Mungkin kerana keadaan ekonomi masyarakat kita waktu itu yang tidak membenarkan jemaah Malaysia beramai-ramai menjadi tetamu Allah. Atau mungkin juga dek kurangnya pemahaman tentang kepentingan mengerjakan umrah.

Sekarang ini, bukan sahaja ramainya jemaah Malaysia saban bulan memenuhi lapangan terbang bersiap untuk terbang mengerjakan umrah, malah syarikat-syarikat pengendali umrah juga tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Hasilnya, umrah menjadi ‘trend’. Ramai orang yang turut serta tanpa memahami sebenarnya tujuan mereka mengerjakan umrah.

Kes ‘Tipah tertipu’ pun banyak. Dalam keghairahan umat Islam di Malaysia berlumba-lumba ingin mengerjakan umrah, manusia-manusia tamak yang ingin mengaut keuntungan segera turut berlumba-lumba menipu para jemaah. Sudahlah harapan diberikan, duit diambil, bayang mereka pula lesap. Allahu Akbar! Kasihan bakal jemaah umrah tak jadi. Berbulan-bulan mengejar bayangan pengelola umrah yang sudah hilang entah ke mana.

Jom kita renungkan. Ramai umat Islam yang berharta, tetapi ramai juga yang tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke tanah suci. Ada yang terlalu sibuk bekerja, dan ada juga yang tidak langsung terbuka hati mereka untuk ‘menjenguk’ ke rumah Allah. 

Sebaliknya, ramai juga umat Islam yang mempunyai duit cukup-cukup untuk belanja bulan tersebut. Simpanan di bank juga tak pernah melepasi tiga angka. Namun, hatinya merindui untuk sujud di hadapan Ka’abah. Dalam ramai-ramai umat Nabi sallallahu ‘alaihi wa salam ini, ada yang akhirnya sampai ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. 

Ada juga yang sehingga akhir hayatnya tidak berpeluang menjenguk tanah suci buat umat Islam. Ada juga kisah bakal jemaah yang sudah siap segala kelengkapan, kenduri doa selamat juga sudah dibuat. Tetapi tidak jadi berangkat kerana masalah yang timbul dim init terakhir. Tidak kira si kaya atau si miskin; lelaki atau perempuan. Tidak kira orang muda atau warga emas. Kenapa jadi begitu?


UMRAH: SUATU JEMPUTAN

Pertama sekali yang harus kita faham tentang mengerjakan umrah ini ianya bukanlah datang dari kehendak hati kita semata-mata. Ianya bukan ekslusif untuk orang kaya berharta semata-mata. Ianya juga tidak terbatas untuk mereka yang berjubah, berjanggut dan bertudung labuh sahaja. Bukan juga hanya untuk para ustaz dan ustazah atau pak menteri dan orang kenamaan. Tidak!

Semuanya datang dari Allahu Subhanahu wa Ta'ala. Allah yang membuka hati kita untuk berniat mengerjakan umrah. Allah yang memberikan kelapangan masa untuk kita sampai di tanah suci. Allah yang memberikan kesihatan pada kita sewaktu di sana mahupun di tanah air. Allah yang membuka pintu rezeki, memudahkan kita mendaftar dan membayar harga pakej umrah yang dipilih. 

Allah juga yang menjaga keselamatan kita bermula dari kita keluar rumah berdebar-debar hendak menuju ke lapangan terbang, sehinggalah kita balik semula ke rumah sarat dengan pelbagai kenangan manis dan juga buah tangan. Maa sha Allah!

Kesimpulannya, umrah ini cerita istimewa. Umrah ini cerita bahagia. Ianya adalah jemputan khas dari Sang Pencipta kepada yang dicipta. Ianya adalah hadiah kasih sayang dari Tuhan Yang Maha Besar buat hambanya yang kerdil. Bila telah ditetapkan begitu, tiada apa yang dapat menghalangnya. 

Firman Allah dalam surah Aali Imran ayat 160 yang bermaksud:
"Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan) maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal".

Jika kita fahami betul-betul konsep ini, in shaa Allah kita akan mudah redha jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kerana semuanya datang dari Allah. Jemputan umrah itu, pemergian kita ke sana, dan kepulangan kita ke tanah air.

Jadi, jom kita berdoa bersungguh-sungguh dengan sepenuh hati agar diberikan jemputan itu oleh Yang Maha Esa. Pohon dariNya setiap kali dahi kita sujud menyembah Allahu Subhanahu wa Ta'ala. Minta agar kita tersenarai menjadi tetamuNya yang berbahagia menjadi jemputan Yang Maha Agung di tanah suci. Allahu Akbar! Berdoalah!

Allah berfirman dalam surah Ghafir ayat yang ke 60 yang bermaksud:

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina”.